Usai tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang tahun lalu, Noor Izatti Yahaya, 24, atau lebih mesra dipanggil Tya mula serius sebagai pembuat kandungan atau content creator.
Bagi pemegang Diploma Pengurusan Pelancongan ini, dia berasa puas apabila dapat berkarya dalam setiap video dihasilkan dan media sosial adalah peluang untuk dirinya menonjolkan diri.
Kepada Kosmo! Ahad, gadis pemalu yang meminati sukan bola sepak ini berkongsi tentang dirinya termasuk ‘kegilaannya’ dengan aktiviti memancing.
Kosmo! Ahad: Serba sedikit tentang diri Tya?
Tya: Anak bongsu daripada tiga beradik dan dibesarkan di Pulau Pinang. Kini merupakan seorang Freelance Content Creator. Tya pilih jadi content creator kerana Facebook, Tiktok dan Instagram ruang untuk tonjolkan diri saya yang pemalu ini.
Jika bukan kerjaya sekarang, mungkin Tya seorang pereka grafik kerana apabila membuat poster atau reka bentuk (design), Tya rasa tenang. Tya rasa puas dan seronok, terutama bila orang suka hasil kerja kita.
Hobi dan cara Tya healing?
Memancing. Tya sudah memancing di banyak tempat antaranya kolam, bawah jambatan, tasik dan tengah laut. Ikan paling besar ditangkap ialah gerepoh atau dikenali GT.
Tempat terbaik memancing ialah Pulau Songsong di Yan, Kedah. Pemandangan cantik, air jernih, banyak ikan seperti kerapu dan tempat terumbu karang. Salah satu cara Tya healing atau lepaskan tekanan.
Ciri lelaki pilihan Tya?
Mudah terpikat dengan lelaki yang kelakar. Tya suka lelaki yang matang tetapi tidak terlalu mengongkong. Dia mesti ada jawapan untuk semua soalan Tya macam ChatGPT bergerak saya.
Minat sukan, boleh kongsi?
Minat Tya dalam bola sepak bermula sekitar 2022 hasil dorongan tunang. Tya selalu mengikut tunang menyaksikan perlawanan bola sepak.
Pasukan yang Tya kagumi ialah Terengganu dan pemain kegemaran, Akhyar Rashid.
Cara Tya jaga kesihatan?
Saya kurangkan pengambilan gula dan kadangkala minum air lemon kosong sahaja.
Tentang Tya yang orang tidak tahu?
Tya sayang kucing tapi alah dengan si comel. Tya pernah kena cakar kucing yang ada penyakit kulit menyebabkan jangkitan teruk dan parut kekal.