fbpx

Masuk GV11, penyanyi Indonesia letak syarat patuh syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INKA meletakkan beberapa syarat sebelum bersetuju untuk sertai GV11.

PETALING JAYA – Penyanyi Indonesia Inka Christie meletakkan beberapa syarat sebelum bersetuju untuk menyertai pertandingan nyanyian Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) yang akan memulakan siaran pada 24 November depan.

Perkara tersebut diputuskan Inka nama sebenarnya Rinni Chries Hartono, 51, bersesuaian dengan penampilan dan pendiriannya yang ingin berhibur sambil menyampaikan dakwah.

Bahkan, syarat tersebut turut mendapat persetujuan daripada ahli keluarga, sekali gus membolehkan dia untuk menyertai program televisyen popular berkenaan.

“Saya beritahu pihak televisyen bahawa saya akan memilih lagu apa yang saya mahu, kerana lirik itu satu doa. Jadi saya sangat berhati-hati.

“Jadi saya ingin lagu yang ditentukan, saya akan pilih sendiri. Lirik lagu yang kalau kita gambarkan tentang hubungan dengan Tuhan.

“Saya juga bercakap dengan ibu dan dia sudah memberi restu untuk saya menyertai rancangan ini asalkan tidak keterlaluan serta tahu tujuan asalnya untuk mengeratkan silaturahim dan beribadah. Menang kalah itu ketentuan Tuhan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Selain lirik, penyanyi yang terkenal dengan lagu Rela itu turut menolak untuk mengenakan pakaian yang ketat dan melakukan pergerakan tarian menggoda.

“Saya mahu memakai pakaian yang longgar. Sekiranya di Indonesia juga saya mengenakan konsep pakaian yang mudah (longgar) dan tidak menampakkan bentuk badan.

“Bagi saya semua ini berbalik kepada tujuan asal untuk berada di atas pentas. Sekiranya ingin berdakwah, jadi tunjuk contoh yang baik. Sekiranya sudah bertudung jangan pakai baju ketat.

“Bagi saya secara peribadi, ketika menyanyikan dangdut jangan terlalu menari gelek sehinggq menimbulkan syahwat dalam kalangan kaum Adam,” katanya.

Inka menjadi antarq 14 peserta GV11 iaitu Ning Baizura, Ronnie Hussein, Reshmonu, Liza Aziz, Illa Sabry, Sheila Abdull, Fairuz Selamat, Arrora Salwa, Zehra Zambri dan Nai Dinamik.

GV11 turut disertai kumpulan The Lima, Dyrga Dadali dari Indonesia dan penyanyi Singapura, Yazid Lovehunters.

Selebriti sensasi Nabil Ahmad dan Jihan Muse pula masih bergandingan sebagai pengacara manakala Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat serta Hetty Koes Endang kekal sebagai juri tetap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI