SHAH ALAM – Mayat seorang lelaki berpakaian lengkap dalam keadaan tertiarap dijumpai di tebing sungai berhampiran kunci air, Alam Impian Seksyen 35 di sini kira-kira pukul 4.03 petang tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay anak Embol berkata, hasil siasatan mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat tersebut.
“Pemeriksaan terhadap badan mangsa mendapati tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuhnya yang boleh menyebabkan kematian mangsa. Siasatan dijalankan dibawah mati mengejut (SDR).
“Mayat telah dihantar ke Hospital Shah Alam bagi tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan malam ini. – KOSMO! ONLINE