KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio berusaha untuk berlaku adil kepada dua penyerang import, Jorge Obregon dan Bergson da Silva selain menyifatkan kedua-dua pemainnya itu memiliki kualiti berbeza.
Menurut Bidoglio, pasukan sentiasa memerlukan kelibat Obregon dan Bergson dalam usaha menggempur benteng pertahanan lawan dalam semua kejohanan disertai pada musim ini.
“Obregon adalah seorang penyerang yang bagus dan sangat bijak dalam mengawal bola selain sentiasa bekerja keras dalam memberi tekanan terhadap pasukan lawan.
“Bergson juga boleh melakukan perkara yang sama tetapi saya lihat kedua-dua pemain ini memiliki kualiti yang berbeza.
“Buat masa ini, saya hanya boleh menurunkan salah seorang kerana mereka beraksi di posisi yang sama tetapi akan sentiasa dibantu oleh jentera serangan lain seperti Arif (Aiman Hanapi) dan Heberty (Fernandes),” katanya.
Sebagai rekod, Obregon menjadi pilihan utama skuad Harimau Selatan dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini apabila diletakkan dalam kesebelasan utama bagi empat aksi yang diharungi.
Namun, Obregon hanya mampu menjaringkan empat gol dalam semua perlawanan sejak menyarung jersi JDT pada jendela perpindahan Ogos lepas.
Situasi berbeza dengan Bergson yang sentiasa membalas kepercayaan selepas penyerang berusia 33 tahun itu menjaringkan 20 gol sepanjang musim ini.
JDT dijadualkan bertemu Perak FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim hari ini.