fbpx

Jadi graduan yang bermanfaat kepada masyarakat – Sultan Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sallehuddin berkenan mengurniakan ijazah kepada graduan pada Majlis Konvokesyen UUM ke-37 di Sintok, Kedah hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

SINTOK – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah para graduan harus sedar kejayaan yang dikecapi dalam hidup bukan sekadar untuk dinikmati diri sendiri, tetapi turut dikongsi dan dimanfaatkan kepada masyarakat.

Baginda bertitah, bakat serta kemahiran yang ada pada diri mestilah memberi manfaat dan impak positif kepada masyarakat iaitu sama ada penglibatan dalam bidang profesional atau sumbangan kerja amal.

“Seandainya anda telah berjaya mencapai kejayaan dalam kerjaya dan kehidupan, seharusnya nilai-nilai moral yang dimiliki hendaklah tidak dikorbankan,” titah baginda yang juga Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Majlis Konvokesyen UUM ke-37, di sini hari ini.

Sultan Sallehuddin bertitah, kepimpinan yang sebenar bermula dengan menjaga kebajikan orang lain dan sentiasa berpegang kepada prinsip kejujuran.

“Bekerjalah dalam bidang yang anda minati, insya-Allah ia akan memberi kepuasan kepada anda,” titah Sultan Kedah.

Titah baginda lagi, kebahagiaan dalam kerjaya tidak datang semata-mata daripada gaji atau gelaran tetapi melakukan perkara yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Universiti ini telah mendidik dan melatih anda dalam pelbagai bidang keilmuan. Hari ini, adalah hari pengiktirafan kejayaan anda. Oleh kerana itu, setiap daripada anda semua seharusnya mempunyai tanggungjawab untuk memanfaatkan bakat dan ilmu yang ada bagi kepentingan negara tercinta,” titah baginda.

Baginda juga bertitah supaya semua graduan terus belajar sama ada melalui pendidikan formal atau luar pendidikan formal kerana dunia sentiasa berubah, selain ilmu di universiti hanya permulaan.

“Para graduan harus ingat, seandainya menghadapi cabaran dan kegagalan, sebenarnya itu adalah sebahagian daripada perjalanan menuju kejayaan. Kegagalan boleh membentuk ketahanan diri dan membantu memahami kekuatan serta kelemahan diri,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI