fbpx

‘Ini kali pertama saya datang sini untuk minum’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rata-rata GRO memakai baju tidur seksi ketika ditahan JIM KL tengah malam tadi.

KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan yang disyaki menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing berbaju tidur seksi terbongkar dalam serbuan Ops Gegar #KLStrike Force di Jalan Pudu, di sini, tengah malam tadi.

Tinjauan Kosmo! di lokasi serbuan mendapati wanita seksi yang berada dalam pusat hiburan itu bertindak agresif mahu melarikan diri dari ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur.

Dalam serbuan yang bermula pukul 12.40 tengah malam itu juga, sebahagian dari mereka berjaya meloloskan diri dengan melalui beberapa pintu yang menembusi tempat parkir kenderaan.

Salah seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun turut ditahan kerana mengganggu tugas pegawai dan menafikan cubaan melarikan seorang wanita dipercayai GRO.

“Saya tidak selamatkan dia (GRO) tapi kejar dia sampai tangga sebab curi telefon bimbit saya masa tengah operasi dan saya mabuk. Ini pertama kali saya datang ke sini bersama kawan untuk minum sahaja,” katanya ketika ditanya pemberita di lokasi serbuan.

Kira-kira pukul 2 pagi, anggota JIM menemui seorang GRO yang cuba menyelamatkan diri dengan bersembunyi di belakang pentas.

Pusat hiburan ini juga didapati menyajikan khidmat gadis kalung dengan bayaran tip RM100 sehingga RM5,000 berdasarkan layanan diterima.

Sementara itu, Pengarah JIM KL, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan itu dilakukan berdasarkan aduan penduduk setempat yang tidak selesa dengan lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, hasil risikan selama empat minggu mendapati wujudnya kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran di premis berkenaan.

“Dalam serbuan ini, seramai 29 pegawai Imigresen Kuala Lumpur terlibat dan kita telah memeriksa 215 individu terdiri daripada pelanggan serta pekerja premis.

“Seramai, 89 warga asing dan warga tempatan yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki dan 73 wanita berusia antara 23 hingga 58 tahun,” ujarnya.

Katanya, ia melibatkan 61 wanita warga Thailand, wanita Vietnam (10), seorang lelaki Laos, lelaki Bangladesh (6), lelaki China (2) dan sembilan warga tempatan.

“Bagaimanapun, kami percaya ada berbelas orang yang bolos menggunakan jalan tikus di kelab ini,” jelasnya.

Kesalahan ketara yang dikesan adalah melibatkan salah guna pas, memasuki Malaysia kononnya untuk melancong namun didapati bekerja secara tidak sah di negara ini.

“Siasatan awal terhadap sembilan individu warga tempatan ini dipercayai mereka ini bekerja sebagai penjaga dan pengurus premis manakala seorang dari jumlah itu ditahan kerana halang tugas.

“Kesemua individu yang ditahan akan dibawa ke Pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya lagi.

Tindakan yang akan dikenakan ke atas PATI adalah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63, Seksyen 15 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana pas tamat dan tinggal lebih masa.

Sementara itu, bagi individu tempatan yang ditahan diambil tindakan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55E akta yang sama kerana melindungi pendatang tanpa izin.

“Kita menasihati pelancong yang datang ke Malaysia tidak sepatutnya menyalahgunakan pas lawatan sosial sepanjang keberadaan mereka di sini.

“Mereka perlulah mematuhi undang-undang Imigresen Malaysia dan kami akan terus komited untuk menangani masalah lambakan warga asing di sini,” pesannya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI