PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di enam negeri petang ini.
MetMalaysia berkata, amaran cuaca buruk sehingga 4 petang itu melibatkan Kedah di kawasan Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Pulau Pinang pula di kawasan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
Di Perak, cuaca buruk pada petang ini melibatkan kawasan Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Hulu Perak.
“Bagi Pantai Timur, hujan lebat tertumpu di kawasan Jeli, Kelantan, Setiu, Hulu Terengganu dan Dungun di Terengganu. Cuaca sama turut melanda Mersing dan Kota Tinggi di Johor,” katanya.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter sejam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE