SETELAH sekian lama menyepi daripada radar dunia hiburan tempatan, penyanyi berbakat besar, Hafiz Suip kembali bersaing untuk merebut tempat di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).
Menjadi acara tahunan yang paling dinantikan peminat, Hafiz akan ‘berperang’ dengan 29 lagu lain bagi memenuhi 10 kekosongan pada malam kemuncak AJL39 nanti.
Mempertaruh lagu Terus Bersinar ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito dan Datuk Arisz Ab Rahman, Hafiz akan memperlihatkan kemampuan vokal yang dinantikan peminat.
Selepas muncul dalam Konsert By Ajai & Mega Friends, peminat mula meletakkan harapan untuk melihat Hafiz kembali menjulang trofi juara AJL atau paling tidak mengungguli anugerah Vokal Terbaik.
Bahkan kemunculan Hafiz itu dilihat dapat memberi saingan sengit kepada peserta lain yang tidak kurang hebatnya.
Peminat turut mempunyai ‘senarai bayangan’ penyanyi yang dijangka berjaya lolos Muzik-Muzik Separuh Akhir 39 pada 14 dan 15 November depan.
Antara nama penyanyi itu ialah Ernie Zakri, Aina Abdul, Marsha Milan, Misha Omar, Amir Masdi, Naim Daniel, Akim Ahmad bersama Stacy, Syamel, Haqiem Rusli dan Nadeera Zaini.
Apa-apa pun mari kita sama-sama lihat siapa yang layak mara ke pentas AJL39 nanti. Adakah tepat seperti lagu Ramalan Ku Benar Belaka.
Diva: Betulkah Datuk Aliff Syukri nak menyanyi duet dengan Fazura?