RANTAU PANJANG – Seorang pemandu lori tidak sempat menghantar sebanyak 1,296 batang anak pokok buah-buahan dan hiasan bernilai RM134,500 selepas kenderaan yang dia pandu ditahan di Kampung Parit Air, di sini semalam.
Kesemua tumbuh-tumbuhan itu dirampas kira-kira pukul 1.30 tengah hari semasa anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan tugasan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid, anggota PGA mendapati sebuah lori jenis Isuzu dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahan kenderaan tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan di bahagian muatan lori itu menjumpai sebanyak 700 anak pokok bidara, pokok jambu muda (200 batang), pokok longan (298 batang) dan pokok hiasan jenis bucida batik (98 batang).
“Kesemua anak pokok itu dipercayai diseludup dari Thailand apabila tiada sebarang dokumen yang sah dibawa bersama pemandu lori berusia 30 tahun.
“Siasatan awal mendapati, suspek disyaki berperanan sebagai penghantar yang membawa kesemua tumbuhan seludup yang bernilai RM134,500 itu untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan kesemua barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang di sini untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167). – KOSMO! ONLINE