LAS VEGAS – Pasukan Red Bull telah melakukan persiapan luar biasa dalam memastikan Max Verstappen merangkul gelaran dunia Formula Satu (F1) empat kali berturut-turut selepas menjalankan lapan bilion simulasi di litar Las Vegas.
Dibarisi teknologi tinggi dan kerjasama dengan Oracle, Red Bull menggunakan Infrastruktur Awan Oracle (OCI) untuk menjalankan simulasi tersebut agar Verstappen mampu mengesahkan gelaran dunia sekiranya muncul juara di Las Vegas pada 24 November ini.
Ketua perkongsian Red Bull, Jack Harington berkata, pendekatan dibawa mereka bukan sekadar meningkatkan ketepatan strategi, malah membolehkan pasukan meminimumkan kos tanpa menjejaskan prestasi di bawah had perbelanjaan ketat F1.
“Kami jalankan empat bilion simulasi sebelum tiba di litar. Selepas data daripada latihan pertama dan kedua diperolehi, kami tambah lagi empat bilion untuk menyesuaikan strategi kepada keadaan sebenar.
“Setiap butiran daripada perubahan cuaca hingga keadaan tayar diambil kira untuk memastikan Verstappen mempunyai kelebihan maksimum di Las Vegas,” kata Harington.
Pendekatan Red Bull yang menggabungkan data dan strategi itu memberikan mereka keyakinan untuk mengatasi cabaran unik pada litar jalanan Las Vegas yang terkenal dengan jalan yang licin dan selekoh sukar.
Dengan sokongan OCI, Verstappen dan Red Bull bersedia menghadapi apa jua kemungkinan yang menanti mereka. – AGENSI