LONDON – Enzo Fernandez bakal memainkan peranan penting di kala Chelsea mungkin tidak dapat menurunkan Cole Palmer untuk aksi derbi London menentang Arsenal di Stamford Bridge tengah malam ini.
Fernandez, 23, berada pada tahap terbaik ketika ini selepas mencipta empat bantuan jaringan ketika The Blues membelasah kelab Armenia, FC Noah 8-0 dalam saingan Liga Konferens Eropah kelmarin.
“Tahniah semua. Sekarang kita alihkan fokus kepada perlawanan Ahad ini (tengah malam ini),” kata pemenang Piala Dunia 2022 bersama Argentina itu.
Biarpun tidak bermain 90 minit penuh tetapi kecemerlangan itu hampir pasti menyaksikan Fernandez kembali berada dalam kesebelasan utama Chelsea menentang Arsenal.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca, 44, tentunya pening kepala untuk menyenaraikan dua pemain tengah bertahan yang terbaik disebabkan Moises Caicedo dan Romeo Lavia beraksi cemerlang ketika seri 1-1 dengan Manchester United minggu lalu.
“Saya fikir pemain-pemain sekali lagi menunjukkan tahap profesional yang tinggi dan mengambil serius setiap perlawanan. Anda boleh lihat mereka tidak kehilangan fokus dalam aksi ini.
“Bola sepak penuh dengan kejutan dan saya percaya jika pemain mengekalkan apa yang telah mereka lakukan, tiada masalah untuk kami meraih sesuatu (menentang Arsenal),” jelasnya.
Bukan sahaja Fernandez, bekas pengurus Leicester City itu juga masih tiada keputusan sama ada menurunkan Mykhailo Mudryk untuk menggantikan tempat Palmer menentang Arsenal.
“Palmer masih tidak berlatih setakat ini. Kami masih perlu tunggu dan kemudian barulah dapat membuat keputusan. Harapnya dia dapat kembali segera ke dalam pasukan.
“Apa yang bagus adalah Misha (Mudryk) makin menunjukkan peningkatan. Dia menjaringkan gol yang menarik (menentang Noah) dan kami mempertimbangkan segala aspek siapa akan berada dalam kesebelasan utama,” ujar Maresca. – AGENSI