KUALA LUMPUR – Empat buah hotel yang menjadi lokasi wanita warga asing menawarkan perkhidmatan seks dibongkar polis menerusi empat serbuan serentak di ibu negara, malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Rusdi Isa berkata, serbuan Op Noda KL Strike Force itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Katanya, serbuan dilakukan di empat buah hotel membabitkan kawasan di Cheras, Sri Petaling, Jalan Ipoh, dan Danau Kota.
“Hasil serbuan berjaya menangkap 21 wanita warga asing disyaki pelacur terdiri daripada warga Indonesia, Vietnam, Thailand, dan Laos.
“Turut ditangkap lima lelaki tempatan dan kesemua mereka berusia 20 hingga 61 tahun,” katanya hari ini.
Jelas Mohd Rusdi, operasi itu menyasarkan aktiviti pelacuran di hotel melalui kaedah ‘walk in’ atau tempahan dalam talian.
“Harga yang ditawarkan adalah berbeza mengikut tempat antaranya RM120 setengah jam dan RM140 hingga RM250 untuk satu jam.
“Setelah ditempah, pelanggan akan dibawa ke bilik yang didiami oleh pelacur di hotel,” katanya.
Menurutnya, antara barangan dirampas 62 keping kondom, tuala (21), botol minyak pelincir (22), gulung tisu (18), tisu basah (tiga) dan wang tunai RM905.
“Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan 373 Kanun Keseksaan dan pelacur warga asing yang ditahan pula disiasat di bawah Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 55B Akta Imigresen,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE