SINTOK – Kecekalan seorang pempengaruh, Emina Kulasic Bong Ei Min, 24, hidup tanpa ibu bapa sejak kecil menjadikannya kuat menghadapi cabaran sepanjang dia menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Anak kelahiran Sarikei, Sarawak itu berazam untuk melakukan yang terbaik dan ia berbalas apabila dia dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen UUM ke-37, di sini hari ini.
Lebih manis apabila Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang juga Canselor UUM berkenan mengurniakan anugerah tersebut.
Menurut Emina, dia gembira apabila terpilih sebagai salah seorang daripada dua penerima anugerah tersebut.
“Saya memang tidak sangka dapat anugerah ini, selain bersyukur dapat menamatkan pengajian Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa dengan baik,” katanya ketika ditemui pada majlis konvokesyen itu.
Katanya, dia dijaga ibu saudara sejak usia 11 tahun selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser paru-paru.
“Semasa belajar di sini, saya hidup sendirian dan berdikari. Secara jujurnya, sebelum majlis (konvokesyen) bermula, saya ada menangis sedikit tadi bila tengok kawan-kawan ada mak ayah.
“Apa pun saya perlu terus kuat dan hari ini saya ada kawan-kawan yang naik pentas untuk terima ijazah dan anugerah,” ujarnya yang pernah bergiat aktif dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebagai Setiausaha Agung MPP UUM sebelum ini.
Sementara itu, katanya, dia menampung perbelanjaan sepanjang pengajian menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selain pendapatan yang diperoleh sebagai pempengaruh.
“Sekarang saya sudah bekerja di sebuah syarikat swasta dalam bidang komunikasi digital dan pada masa sama akan terus mengembangkan kerjaya sebagai pempengaruh.
“Saya juga merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi iaitu sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) selepas ini,” ujarnya.
Tambahnya, dia mahu menjadi seorang pempengaruh yang berilmu dan dapat memberi manfaat kepada masyarakat. – KOSMO! ONLINE