PETALING JAYA – Sebuah keluarga berdepan detik mencemaskan selepas mesin pengering yang sedang digunakan terbakar.
Melalui perkongsian di platform TikTok, Efaa Kamal berkata, kejadian berlaku sewaktu dia dan ahli keluarga berada di dalam rumah baru-baru ini.
“Allahuakbar, masih terasa bahang api ini. Semoga tarikh keramat 5 November menjadi sejarah, Alhamdulillah lima anak semuanya selamat. Mohon doakan kami.
“Memang tidak akan dapat lupakan saat getir pada saat orang semua lena, kami terjaga melawan api. Andai harta benda pinjaman ini Allah tarik kami reda, asalkan anak-anak kami semua selamat,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, wanita itu memaklumkan jiran-jiran yang menyedari kejadian itu segera menghulurkan bantuan memadam api menggunakan hos kecemasan sebelum pihak bomba tiba.
“Jiran tolong dulu sebelum bomba datang, semua panik. Semua orang hubungi bomba, tapi bantu dulu mana yang boleh,” katanya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mengingatkan antara satu sama lain supaya memastikan soket elektrik mesin pengering tidak dikongsi dengan perkakas elektrik lain bagi mengelak kebakaran.
“Masa beli orang yang jual sudah pesan cara guna, semoga semua dipermudahkan, kasihan tengok anak-anak mesti trauma,” kata Yoony.
“Pengering atau apa-apa alas memanas atau sejuk macam peti sejuk, ketuhar kena ada soket sendiri. Jangan kongsi, saya pernah kena soket jadi cair. Nasib baik tak ada apa-apa,” kongsi Madam Mimaa. – KOSMO! ONLINE