fbpx

Bawa wanita dalam iddah sama seperti keluar dengan ‘bini orang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi menjelaskan bahawa wanita yang diceraikan melalui talak rajie iaitu talak satu atau dua perlu menjalani tempoh iddah selama tiga kali suci, tiga bulan, atau sehingga melahirkan anak jika mengandung.

PETALING JAYA – Tindakan membawa wanita yang sedang menjalani tempoh iddah bercuti dianggap bertentangan dengan hukum syarak dan boleh disamakan dengan keluar bersama isteri orang.

Peguam Syarie, Fahmi Ramli, dalam satu perkongsian di Telegram, menjelaskan bahawa wanita yang diceraikan melalui talak rajie iaitu talak 1 atau 2 perlu menjalani tempoh iddah selama tiga kali suci, tiga bulan, atau sehingga melahirkan anak jika mengandung.

“Namun, kini ramai yang seolah-olah tidak mengambil berat tentang hukum iddah. Padahal, apabila masih dalam tempoh iddah rajie, seorang isteri perlu mematuhi batasan-batasan tertentu,” ujarnya.

Fahmi turut mengingatkan bahawa wanita dalam tempoh iddah dilarang menerima pinangan atau berkahwin dengan lelaki lain.

“Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilakukan semasa tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan,” tegasnya.

Beliau juga menekankan agar wanita tidak terburu-buru melakukan aktiviti seperti bercuti atau memulakan hubungan baru.

“Sabar seketika, habiskan dahulu iddah, barulah selepas itu perkahwinan baru boleh dilakukan tanpa sebarang keraguan,” tambahnya.

Selain itu, Fahmi juga mengingatkan wanita dalam iddah untuk tidak berkabung, sebaliknya perlu menjaga penampilan dan berhias sebagai usaha memberi peluang kepada suami untuk mempertimbangkan rujuk semula.

Dalam pada itu, wanita dalam iddah dibolehkan keluar rumah hanya jika ada bahaya atau ancaman yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI