fbpx

Aaron-Wooi Yik tamat kemarau gelaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON dan Wooi Yik berjaya menamatkan penantian setahun bergelar juara sejak memenangi Terbuka Denmark pada Oktober tahun lalu. - AFP

BEREGU lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan kemarau kejuaraan lebih setahun dalam saingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila meraih gelaran Kejohanan Badminton Korea Masters 2024.

Pada perlawanan akhir di Gimnasium Iksan, Korea Selatan hari ini, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu membenam wakil tuan rumah, Jin Yong-Kim Won Ho menerusi aksi rubber set 21-23, 21-19, 21-14.

Ia secara tidak langsung meredakan tekanan dirasai gandingan No. 6 dunia itu memandangkan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen mencabar mereka supaya bangkit daripada prestasi hambar.

Turun sebagai pilihan utama pada kejohanan bertaraf Super 300 itu, Aaron-Wooi Yik berdepan aksi sukar apabila diberi tentangan sengit beregu Korea tersebut sebelum ketinggalan 12-15.

Biarpun kembali bangkit dan hampir memenangi set pertama di kedudukan 20-19, namun ia belum cukup untuk memastikan kemenangan apabila Jin Yong-Won Ho menang 23-21.

Bersambung set kedua, Malaysia terus berada dalam situasi sukar apabila menyaksikan beregu tuan rumah mendahului 6-2, namun Aaron-Wooi Yik memperkemaskan permainan dan mengikat kedudukan 8-8.

Kemudian, mereka mendapat keyakinan baharu dan meletakkan Jin Yong-Won Ho dalam situasi sukar sebelum mengesahkan kemenangan 21-19 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Memasuki set ketiga, aksi kedua-dua pasukan dilihat cukup seimbang apabila saling bertukar servis, namun tuah menyebelahi Aaron-Wooi Yik yang mencatat kemenangan 21-14.

Kali terakhir bekas juara dunia itu meraih kejuaraan Jelajah Dunia adalah ketika mereka memenangi Terbuka Denmark di Odense pada Oktober tahun lalu.

Selaku juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai AS$15,750 (RM69,014) berserta pingat, manakala Jin Yong-Won Ho berpuas hati dengan AS$7,980 (RM34,967) dan pingat sebagai pemenang tempat kedua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI