LUMUT – Seramai 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari empat negara, ditahan dalam operasi bersepadu sekitar Pantai Remis dekat sini yang dilakukan selama dua hari iaitu kelmarin dan semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob, menjelaskan kesemua mereka melibatkan warga Myanmar, Kemboja, Thailand dan Indonesia berumur lingkungan setahun hingga 61 tahun.
“Operasi dikenali sebagai Op Pelantar berakhir pukul 5 pagi semalam, sebagai usaha membasmi kehadiran pekerja warga asing tanpa izin dalam kalangan komuniti maritim setempat,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, operasi itu melibatkan pemeriksaan ke atas 153 suspek manakala 76 orang daripada mereka telah ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuklah tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan pas tamat tempoh.
Beliau memaklumkan, kesemua suspek ditahan dan diiringi ke Depot Imigresen di Ipoh, untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, operasi itu melibatkan 322 pegawai dan anggota penguat kuasa Maritim Perak, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara. – KOSMO! ONLINE