SECARA purata, ketinggian penduduk dunia adalah 166.99 sentimeter (sm).
Bagaimanapun, ketinggian individu sangat berbeza bergantung kepada wilayah dan negara seseorang itu tinggal.
Sebagai contoh, ketinggian purata penduduk di Belanda adalah 177sm dan pada asasnya, ia 10sm lebih tinggi daripada purata dunia.
Namun begitu, sesetengah negara pula mempunyai purata ketinggian 10sm di bawah purata global.
Ada banyak perkara yang menyebabkan penduduk di negara-negara itu berada di bawah purata ketinggian global.
Antaranya disebabkan faktor genetik dan perkembangan hidup seperti kesihatan dan pemakanan.
Di sini, Panorama menyenaraikan lima negara yang mempunyai purata ketinggian terendah di dunia.
1. Timor Leste (156.42sm)
Terletak di Asia Tenggara, Timor Leste mempunyai populasi terpendek di dunia dengan ketinggian purata hanya 156.42sm.
Negara itu juga mempunyai populasi penduduk yang kecil dengan hanya 1.39 juta orang.
Keluarga luar bandar amat bergantung kepada pertanian sara diri, sekali gus menyebabkan akses terhadap makanan terhad. Akibatnya, berlaku kekurangan zat makanan dengan hampir 47 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun di negara itu terbantut.
2. Guatemala (157.64sm)
Guatemala yang terletak di Amerika Tengah mempunyai penduduk kedua terpendek di dunia dengan purata ketinggian hanya 157.65 sm.
Negara ini mempunyai penduduk kira-kira 16.56 juta daripada pelbagai etnik.
Hampir 56 peratus adalah etnik Ladinos dan Mestizos, manakala 42 peratus merupakan Orang Asli.
Makanan penduduk di negara itu adalah berasaskan kacang, jagung dan cili yang menjadi ruji di Guatemala.
Disebabkan oleh ketidaksamaan struktur dan krisis iklim, Guatemala merupakan negara keenam paling kronik kekurangan zat makanan di dunia. Ini menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan serta menyumbang kepada masalah terbantut pada sesetengah kanak-kanak.
3. Laos (157.94sm)
Laos merupakan sebuah negara di Asia Tenggara yang berada pada kedudukan ketiga ketinggian terpendek di dunia dengan purata adalah 157.94sm.
Negara itu pada hari ini mempunyai penduduk sekitar 7.66 juta, dan sebelum abad ke-20, terdapat kira-kira 60 kumpulan etnik berbeza menetap di Laos.
Tetapi ketika ini, etnik Lao paling menonjol dan mewakili hampir separuh daripada penduduk di negara itu.
Beras pulut adalah makanan ruji dalam masakan dan setiap orang mengambil kira-kira 171 kilogram secara purata setahun.
Mengenai pemakanan, kira-kira 1.8 juta orang di Laos mengalami kekurangan zat makanan, mewakili hampir satu perempat daripada jumlah penduduk dan sebahagian besarnya disebabkan oleh faktor kemiskinan.
4. Nepal (158.38sm)
Nepal, sebuah negara di Asia Selatan, mempunyai ketinggian purata 158.38sm, sekali gus menjadikannya yang keempat terpendek di dunia.
Negara itu mempunyai populasi 29.87 juta orang. Pemakanan biasa di Nepal terdiri daripada gandum, beras dan jagung.
Masalah sosial seperti kekurangan keterjaminan makanan, cabaran geografi dan akses penjagaan kesihatan yang tidak mencukupi telah mengakibatkan sejumlah besar kekurangan zat makanan.
Dianggarkan hampir 36 peratus kanak-kanak di negara ini terbantut.
5. Bangladesh (158.73sm)
Dengan ketinggian purata 158.73sm, Bangladesh yang terletak di rantau Asia Selatan menjadi negara kelima yang mempunyai ketinggian terpendek di dunia.
Bangladesh mempunyai anggaran penduduk seramai 168.12 juta orang, menjadikannya negara kelapan paling ramai penduduk di dunia.
Nasi adalah makanan ruji utama negara yang dijamah bersama ikan untuk protein.
Sekuriti makanan adalah kebimbangan yang ketara di negara itu dengan 35 peratus penduduk tidak mempunyai akses sumber yang mencukupi dan stabil.
Akibatnya, 28 peratus kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah terbantut.