SEBERANG PERAI – Seramai 366 tahanan di Depot Tahanan Imigresen Juru bakal dipindahkan ke Depot Tahanan Imigresen baharu di Jawi yang bakal memulakan operasi pada 26 November ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, depot tahanan baharu yang siap dibina dengan kos RM77.5 juta di atas tanah berkeluasan 6.07 hektar boleh memuatkan kira-kira 1,200 tahanan dalam satu-satu masa.
“Setakat ini, tahanan yang terdiri daripada 233 lelaki dan 133 wanita yang masih berada di Juru bakal menjadi tahanan sulung yang dipindahkan ke sini melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan Akta Imigresen antaranya salah guna pas lawatan, masuk tanpa dokumen dan tinggal lebih masa.
“Selain itu, terdapat seramai 118 staf imigresen turut ditempatkan di sini selain kuarters penginapan turut disediakan untuk mereka,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Depot Tahanan Imigresen dan Kuarters Jawi Pulau Pinang, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE