PETALING JAYA – Seorang ibu muda meluahkan rasa kecewa setelah terpaksa berdiri sambil mendukung anak kecilnya sepanjang perjalanan menaiki kereta api dari Pendang ke Sungai Petani.
Menerusi perkongsian oleh Wawa Ahmad di Facebook, dia menyatakan kesedihannya kerana terpaksa berdiri sepanjang perjalanan sambil mendukung anak kecilnya.
Apa yang lebih menyedihkan adalah kesemua tempat duduk dalam kereta api tersebut dipenuhi oleh golongan muda yang tidak mempedulikan keadaannya.
“Seorang pun tak ada nak bagi duduk. Seorang pun tak saya pelawa untuk duduk,” tulisnya menzahirkan kekecewaannya terhadap sikap kurang peka penumpang muda.
Dia turut menyeru agar masyarakat lebih mengutamakan orang yang memerlukan seperti ibu yang mendukung anak, warga emas, dan mereka yang kurang upaya.
“Biar kita ada rasa hormat dekat orang lain. Berbudi bahasa, budaya kita,” tambahnya dalam hantaran tersebut.
Perkongsian ini diharapkan dapat membuka mata orang ramai untuk lebih prihatin dan mengutamakan golongan yang memerlukan bantuan ketika menggunakan pengangkutan awam.
Sementara itu, ramai pengguna media sosial membanjiri ruangan komen dan rata-rata bersetuju dengan kenyataan Wawa mengenai orang muda kini tidak beradab.
“Semua manusia sekarang ini pentingkan diri sendiri, utamakan keselesaan sendiri. Kalau jadi dekat saudara-mara atau keluarga sendiri, pandai pula nak kritik. Itulah masyarakat kita sekarang,” ujar Zai.
“Aku kalau nampak mak cik atau pak cik, perempuan mengandung atau budak keciL, sebelum dia datang dekat, aku dah bangun awal-awal untuk bagi dia duduk sebab dari kecil sudah faham apa yang perlu dibuat apabila dalam situasi ini,” komen Yie. – KOSMO! ONLINE