fbpx

Wanita, bapa maut akibat tikaman di dada, perut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah dua beranak ketika dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, malam tadi. - Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

GEORGE TOWN – Bedah siasat ke atas mangsa wanita dan bapanya yang maut ditikam seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Farlim, Ayer Itam di sini kelmarin dilaporkan berpunca akibat luka tikaman pada dada dan perut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, terdapat kecederaan akibat tikaman dengan benda tajam pada mangsa hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam.

“Bedah siasat mendapati punca kematian mangsa wanita adalah disebabkan luka tikaman pada dada dan perut, manakala bapanya mengalami luka akibat ditikam pada dada.

“Proses bedah siasat selesai kira-kira pukul 6 petang semalam dan jenazah kedua-dua beranak dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan malam tadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya lagi, polis memberi jaminan bahawa siasatan berhubung kes berkenaan akan dijalankan secara telus dan adil.

“Keadaan suspek stabil dan kita percaya siasatan tidak mengambil masa yang lama,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan suami kepada mangsa wanita, Siti Zulaila Zulkifli, 30, iaitu Mohamad Shazwan Hafizi Badrul Kamal, 30-an
mahu pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap si pelaku.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.54 tengah hari Khamis lalu, Siti Zulaila dan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditikam suspek menggunakan sebilah pisau.

Suspek kemudiannya bertindak mengelar dan menikam dirinya sendiri beberapa kali selepas membunuh dua beranak tersebut.

Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan bersama dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Kariah Tanjong Tokong selepas solat isyak semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI