LONDON – Seekor ikan koi jantan yang kerap berubah warna kini memiliki muka seperti manusia sehingga mengejutkan pemiliknya, lapor portal berita Daily Star semalam.
Ikan bernama Bob itu tinggal di sebuah kolam bersama 11 ikan lain milik tukang kebun landskap bernama Malcolm Pawson di Leeds, Britain. Dia membeli ikan itu dari sebuah kedai, tiga tahun lalu.
Spesies ikan itu diketahui kerap berubah warna, manakala tompok pada kepalanya menyebabkan ikan itu kelihatan seperti manusia.
Tompok-tompok itu mempunyai bentuk seperti mata, hidung dan mulut manusia.
“Rakan dan keluarga saya menyayanginya. Rakan-rakan anak perempuan saya sentiasa meminta untuk datang melihat dan memberi ikan itu makan,” kata Malcolm.
Menurutnya, Bob tidak mempunyai tompok pada mukanya semasa dia membeli ikan itu dari kedai tersebut.
Kata Malcolm, dia sedang membesarkan lagi kolamnya kerana saiz ikan tersebut semakin besar. – AGENSI