TIGA beradik berbakat besar dalam sukan taekwondo mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih pingat emas pada hari yang sama dalam Kejohanan Taekwondo Kebangsaan ke-11 sekali gus merealisasikan impian ibu mereka.
Atlet taekwondo kebangsaan, Fu Cern Put Thai, 22, yang juga juara bertahan, tidak dapat menyembunyikan rasa bangganya selepas dua adiknya, Fu Ceen, 21, dan Fu Chervyn, 16, turut sama menyumbang emas dalam kategori terbuka Olimpik.
“Saya sangat bangga dan bersyukur kerana akhirnya kami bertiga dapat mencapai impian untuk menang emas bersama-sama pada hari yang sama. Ini adalah sesuatu yang kami impikan sejak sekian lama,” kata Fu Cern.
Fu Cern turut mendedikasikan kejayaan itu kepada ibunya, Tea Hoey Chien yang sentiasa hadir memberikan sokongan padu dalam setiap kejohanan dan menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan mereka.
“Ibu adalah inspirasi kami. Dia tidak pernah jemu berada di sisi dan memberi dorongan di setiap langkah. Jadi kami bertiga sangat gembira dengan kejayaan ini,” tambahnya.
Lebih manis, adik bongsunya, Fu Chervyn yang jarang memperoleh pingat emas sebelum ini berjaya melakar kejayaan luar biasa dengan meraih pingat emas
Bagi Hoey Chien, 46, dia terharu melihat ketiga-tiga anaknya berjaya merealisasikan impian yang dimulakan sejak kecil dan berharap mereka dapat melangkah lebih jauh khususnya di pentas antarabangsa.
Pada awalnya dia menghantar anak-anaknya ke kelas taekwondo untuk memastikan mereka mahir seni mempertahankan diri, namun tidak menjangka bakat tiga beradik itu berkembang sejauh ini.
“Saya bersyukur menyaksikan kejayaan mereka dan berbaloi setiap detik masa saya luangkan. Dulu, saya sendiri pernah menyertai taekwondo tetapi keadaan tidak mengizinkan untuk meneruskan. Sekarang, lihat anak-anak berjaya, ia seperti impian tercapai,” katanya.
Kini, Hoey Chien berharap Fu Chervyn dapat mengikuti jejak langkah dua abangnya yang kini berada dalam skuad taekwondo kebangsaan.