GUA MUSANG – Semua majikan di negara ini tidak akan diberi kelonggaran atau pengecualian untuk tidak melaksanakan gaji minimum kepada pekerja bermula Februari tahun hadapan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, akta gaji minimum sudah ditetapkan dan kerajaan tidak akan berkompromi dengan majikan yang memberi alasan tidak mampu.
“Kita sudah tetapkan (gaji minimum), kita akan kuat kuasa pada Februari 2025.
“Buat masa ini, kalau ada yang membuat laporan, kita tidak boleh ambil tindakan kerana ia belum dilaksanakan lagi. Kelonggaran atau pengecualian itu tidak lagi diberikan pada Februari depan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Oghe Kelate 2024 di Dewan Datuk Ariffin Said, Ibu Pejabat Kesedar Gua Musang, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, majikan di tiga negeri tidak bersedia melaksanakan gaji minimum RM1,700 kerana pertumbuhan ekonomi dan ekosistem perniagaan yang belum kukuh untuk menampung kenaikan sebanyak RM200.
Majikan termasuk peniaga di Perlis dan Kelantan dijangka terkesan dengan pelaksanaannya berikutan saiz negeri yang kecil dan kos sara hidup rendah manakala di Sabah ekoran masalah kos bahan mentah yang jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pekerja-pekerja ekonomi gig akan dibentangkan buat kali pertama di Parlimen pada Disember ini. – KOSMO! ONLINE