fbpx

‘Terima kasih pembayar zakat, kerana anda saya berjaya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Harith (tengah) bergambar bersama ahli keluarganya pada Majlis Konvokesyen Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) ke-17 di Universiti Putra Malaysia, Serdang hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

SERDANG – “Terima kasih pembayar zakat, kerana anda saya dapat sambung belajar dan berjaya memiliki diploma dengan cemerlang”.

Demikian ucapan terima kasih daripada penerima Anugerah Pingat Emas Menteri, Muhammad Harith Hazriq Mohd. Rudyherman, 21, kepada kesemua pembayar zakat khususnya di Wilayah Persekutuan.

Menurut graduan Diploma Pentadbiran Perniagaan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) itu, dia akui dengan bantuan yang disalurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), impian untuk bergelar seorang graduan berjaya dicapai.

“Saya pun bukan berasal daripada keluarga yang orang kata senang. Jadi untuk permulaan itu struggle (bersusah-susah) biasalah. Kepada seluruh pembayar zakat saya nak ucapkan terima kasih kerana duit zakat anda telah membantu saya sampai ke tahap ini.

“Sepanjang saya berada dekat sini saya tak keluarkan banyak modal pun, tak keluarkan banyak duit. Setiap semester saya diberi elaun RM450 dan tiada yuran penginapan dikenakan. Tapi saya boleh berjaya macam ini. Terima kasih kepada pihak KPBKL dan MAIWP kerana membantu saya,” katanya.

Muhammad Harith antara 765 graduan daripada pelbagai program anjuran KPBKL yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen KPBKL ke-17 di sini, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Sementara itu, Mohd. Na’im dalam ucapannya berkata, majlis konvokesyen hari ini adalah bukti kepada kejayaan MAIWP dan KPBKL dalam melahirkan ilmuwan Islam yang kompeten serta holistik sebagai pencetus pembangunan ummah.

Katanya, KPBKL merupakan anak syarikat milik penuh MAIWP telah memainkan peranan besar membuktikan Islam amat menitikberatkan kebajikan umatnya dalam setiap bidang bagi memastikan keamanan dan keharmonian kehidupan.

“MAIWP menerusi bidang kuasanya dalam pengagihan zakat dan bantuan bukan sahaja memberi pertolongan dari segi mencukupkan pendapatan dan kelengkapan harian semata-mata, tetapi juga dari pandangan jangka masa panjang dalam melonjak paradigma kehidupan menerusi pendidikan,” katanya.

Bercerita lanjut, beliau memberitahu MAIWP bersama pengurusan KPBKL dalam perancangan untuk menyediakan program berasaskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) agar dapat melahirkan lebih ramai graduan yang seimbang.

“Dasar TVET Ini sedang dibangunkan oleh pihak kerajaan. Jadi saya dah maklumkan kepada (pengurusan) dan insya-Allah kita akan bagi penekanan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI