PETALING JAYA – Ibu kepada penyanyi Aliff Aziz iaitu Siti Hafiza menafikan dakwaan anaknya sudah berbaik dengan bekas isteri, Bella Astillah.
Dalam masa sama, Hafiza atau lebih mesra disapa Fiza turut mengingatkan orang ramai tentang beratnya dosa si penyebar fitnah.
“Alhamdulillah, terima kasih atas fitnah ini. Semoga anda sentiasa dalam rahmah dan barakah Allah.
“Percaya bahawa dosa fitnah adalah satu dosa yang sangat berat. Sangat tidak berbaloi buat anda di dunia dan di akhirat kelak,” katanya dalam sebuah InstaStory.
Dalam hantaran tersebut, Fiza turut memuat naik tangkap layar sebuah berita yang mendakwa hubungan bekas pasangan suami isteri itu yang kembali jernih.
“Gambar Bella dan Aliff, hari ini mereka sudah berbaik. Aliff berjanji tidak akan buat Bella sakit hati,” tulis berita tersebut.
Sebelum ini, Aliff dan pemilik nama lengkap Dayang Ara Nabellah Awang Astillah bercerai talak satu pada 13 Jun lalu selepas lapan tahun hidup sebagai suami isteri.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3 tahun. – KOSMO! ONLINE