PETALING JAYA – Pakar kewangan dan motivator, Dr. Azizul Azli Ahmad, mengingatkan orang ramai agar berhenti menilai dan memperlekeh pencapaian orang lain melalui komen sinis di media sosial.
Teguran beliau itu berikutan satu hantaran seorang individu yang berkongsi kegembiraan membeli kereta baharu, namun mendapat balasan sindiran daripada beberapa pengguna media sosial.
Ada yang mengatakan bahawa memiliki kereta baharu adalah bebanan kewangan dan hanya satu komitmen besar yang masih bergantung kepada pinjaman bank.
Menerusi hantaran yang dibuat oleh Aziziul Azli di Facebook, sesetengah individu mungkin tidak mendapat kelulusan pinjaman bank, malah ada yang gagal mendapatkan pinjaman dalam usaha untuk membeli sesuatu yang mereka inginkan.
“Tak semua orang layak beli kereta baharu. Ada orang, jangan kata kereta hutang, nak buat pinjaman pun tak lepas. Awal-awal bank dah tolak,” ujarnya.
Beliau juga menasihatkan agar masyarakat tidak terlalu cepat menghakimi keputusan kewangan orang lain dan lebih menghormati pencapaian mereka.
Azizul Azli juga menegaskan supaya meraikan sahaja pencapaian orang lain tanpa perlu berdebat mengenai kepuasan diri. Setiap orang berada pada tahap yang berbeza.
“Tak suka dengan keputusan hidup orang, duduk diam-diam. Jangan kawan dengan dia. Kawan dengan orang yang kau rasa pencapaian dia ‘betul’ ikut kamus falsafah hidup engkau,” tambahnya.
Hantaran ini mendapat sambutan positif daripada pengguna media sosial dengan rata-rata bersetuju bahawa masyarakat perlu mengamalkan sikap positif dan menghormati pencapaian orang lain, tidak kira seberapa besar atau kecil.
“Setuju. Raikan kegembiraan orang lain. Saya ada orang terdekat sejenis ‘joy killer’ macam ni. Bahagia, kejayaan dan kepandaian kita kena berdasarkan definisi dia. Saya dah potong dia, bahagia rasa hidup,” komen Athierah Omar.
“Setuju. Raikanlah kejayaan orang lain. Dah bagi orang tu, itu pencapaian dia. Belajar untuk komen yang baik-baik, dalam hantaran orang lain. Jika tak setuju, buat hantaran di media sosial sendiri. Tak ada benda baik nak komen, diam sahaja. Itu sebaiknya,” ujar Huda Hj Othman. – KOSMO! ONLINE