CYBERJAYA – Syarat tambahan ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kepada U Mobile Sdn. Bhd. (U Mobile) adalah untuk memastikan keseimbangan antara kedua-dua rangkaian 5G.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya juga ingin memastikan Digital Nasional Berhad (DNB) dan Rangkaian 5G Kedua Malaysia dapat saling melengkapi di samping berasingan dengan sihat.
“Jadi, tidak ada satu keadaan di mana berlaku dominasi secara berlebihan oleh satu-satu pihak. Justeru, MCMC memang berhak untuk mengenakan syarat kepada pihak U Mobile.
“U Mobile telah membuat kenyataan menyatakan mereka bersedia untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat lain.
“Jadi, MCMC berhak untuk mengenakan syarat tambahan sebelum memberikan spektrum untuk mereka menjalankan kerja-kerja,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Kurier Negara 2024 di sini hari ini.
Sebelum ini, Fahmi menjelaskan kerajaan tidak merancang menyemak semula keputusan memilih U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G Kedua Malaysia.
Menurutnya, langkah itu dianggap tidak perlu kerana pemilihan sudah dibuat secara bebas dan tidak melibatkan campur tangan kerajaan. – KOSMO! ONLINE