KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan teguran terhadap suara-suara yang tanpa segan silu mempersendakan institusi raja.
Baginda juga menegur sikap yang menjadikan agama dan kaum sebagai hamparan bagi meraih laba politik, menerusi retorik atas nama agama dengan nada keterlaluan serta slogan kaum yang bersifat provokatif.
“Sesungguhnya raja pemerintah itu di samping berperanan penting untuk memenuhi tanggungjawab pemerintahan menurut yang termaktub dalam Perlembagaan negara, turut berperanan utama menghubungkan tradisi dengan modenisasi, menghidupkan kekayaan sejarah dan keagungan tamadun bangsa yang telah dibina melalui amalan budaya yang penuh adab lagi beradat, kehalusan budi dan keindahan bahasa.
“Lalu dijadikan asas untuk membangunkan negara bangsa yang berdisiplin, maju, moden lagi progresif. Hal ini menjadi amat relevan, bertambah relevan, malah semakin relevan ketika masyarakat kita sedang berhadapan dengan pelbagai perbuatan subversif budaya dan sabotaj budaya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-68 baginda di Istana Iskandariah di sini hari ini.
Pada istiadat itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan darjah kebesaran dan pingat negeri Perak kepada 59 penerima sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan yang ke-68.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengetuai senarai penerima dan beliau akan menerima Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri. – KOSMO! ONLINE