KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pagi ini berkenan memeriksa kawalan kehormatan sempena Istiadat Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-68 di Istana Iskandariah di sini.
Istiadat Kawalan Kehormatan itu adalah sebahagian daripada aturcara sebelum Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia Serta Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-68 Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
Keberangkatan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah di Bukit Chandan diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Kawalan Kehormatan Utama adalah dari Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen yang berpangkalan di Kem Sangro Taiping, Perak terdiri daripada 3 pegawai dan 102 anggota lain-lain pangkat.
Sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan oleh pasukan 41 Bateri Rejimen Altileri Diraja Istiadat yang berpangkalan di Kem Sungai Buluh, Selangor yang diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani.
Bagi tahun 2024, seramai 213 orang penerima telah diperkenan untuk dikurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat-Pingat Negeri Perak sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Nazrin.
Antara penerima ialah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad; Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi; dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron. – KOSMO! ONLINE