fbpx

K2

Rumah atas air tapi siap ada candelier

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lampu candelier dipasang bagi memberi efek mewah pada ruang makan selain Ruang taman palsu dicipta di ruang depan rumah.

BAGI penggemar hiasan dalaman, ruang kediaman bagaikan kanvas kosong yang memerlukan sentuhan artistik

Keluasan dan jenis rumah bukanlah batasan buat insan kreatif untuk mengekspresikan minat mereka itu.

Begitulah juga dengan seorang suri rumah dan pempengaruh, Noor Fujiah Said yang turut menghias rumahnya, biarpun tinggal di atas air.

Wanita berketurunan Bajau Suluk itu tinggal di Kampung Pondo, Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut Noor Fujiah, minatnya terhadap hiasan dalaman rumah bermula sewaktu dia tinggal di sebuah rumah teres di Melaka.

“Sebelum pandemik Covid-19, saya dan suami tinggal di Melaka untuk menjalani tempoh pantang bersama keluarga di Semenanjung.

“Kami tidak dapat pulang apabila pandemik berlaku. Jadi, saya mula teruja melakukan dekorasi rumah pada waktu lapang.

“Tetapi sayangnya, kami terpaksa pulang semula ke Sabah selepas pandemik dan memulakan kehidupan di sini,” katanya kepada K2.

Kini, keluarga kecil Noor Fujiah tinggal di rumah atas air milik ibu mentuanya yang sudah beberapa tahun tidak berpenghuni.

Rumah yang didirikan daripada kayu tersebut memiliki satu bilik tidur, satu bilik air serta dapur yang bersambung dengan ruang tamu.

Kerusi tinggi diletak di tingkap sebagai ruang santai ketika waktu lapang.

Uniknya, sebahagian daripada rumah tersebut dibentangi tikar, manakala lantai bahagian dapur dibiarkan terbuka.

Kawasan terbuka itu dijadikan tempat cuci pinggan, di mana air basuhan pinggan akan jatuh ke
dalam laut.

Menurut wanita berusia 30 tahun itu, keadaan rumah yang agak unik, bukanlah penghalang kepadanya untuk berdekorasi.

“Saya tidak pasti tentang keluasan rumah ini, tetapi ruang tamunya muat permaidani bersaiz tujuh meter.

“Biarpun kecil dan sederhana, namun saya rasa dengan sentuhan kreativiti, saya dapat hias rumah ini sama seperti rumah orang lain,” jelasnya.

Biarpun rumah tersebut tidak memiliki ruang di atas bertanah, namun ia tidak melenyapkan impian ibu kepada seorang cahaya mata itu untuk memiliki taman di hadapan rumahnya.

Demi merealisasikan cita rasanya itu, dia membeli rumput palsu kalis air untuk disusun di atas berandanya.

Selain itu, dia menggunakan pokok-pokok artifisial yang lengkap berpasu bagi menampakkan lagi ciri-ciri realistik sebuah taman.

Bagi mengelakkan angin laut yang membawa air membasahi ruangan tersebut, Noor Fujiah melakukan satu inovasi.

Katanya, sepanduk lama dikitar semula untuk dijadikan tirai kalis air, sekali gus melindungi taman palsunya itu.

“Cabaran terbesar rumah atas laut adalah keadaan angin kencang yang sesekali membuatkan ruang beranda basah.

“Jadi, saya pakai sepanduk lebihan yang tidak lagi digunakan untuk dijadikan tirai agar taman palsu ini tetap utuh,” katanya.

Bagi memberikan sedikit kesan mewah, pemilik akaun TikTok, JiaTiara itu menggunakan candelier di bahagian ruangan makan.

Pada bahagian dinding pula dihiasi dengan kertas dinding warna kayu bagi memberikan ilusi dinding sekata.

Sementara langsir pula dijahit sendiri dan diikat dengan menggunakan tali kasut supaya kelihatan lebih kemas dan menarik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI