KUALA TERENGGANU – Seorang penjawat awam berputih mata kerugian RM120,000 apabila terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang berpengkalan dari Indonesia baru-baru ini.
Lelaki berusia 28 tahun tersebut yang menyedari tertipu telah membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada pukul 9.04 pagi, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya mangsa tertarik dengan tawaran skim pelaburan sebuah syarikat yang kononnya berpengkalan di Indonesia pada bulan April tahun lalu.
Beliau berkata, lelaki itu kemudiannya mengadakan pertemuan dengan dua wanita dikenali sebagai Amirah dan Wan Siti Aisyah yang didakwa ejen skim pelaburan itu pada 3 Mei tahun lalu.
“Dia yang tertarik dengan keuntungan berganda kononnya ditawarkan telah membuat pinjaman peribadi bagi melakukan pelaburan.
“Wang tunai sebanyak RM138,000 didakwa telah diserahkan mangsa secara berperingkat kepada Wan Siti Aisyah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, kedua-dua suspek dikatakan menjanjikan keuntungan keseluruhan RM286,800 daripada pelaburan dilakukan mangsa, bagaimanapun lelaki tersebut hanya menerima pulangan RM18,000 yang dilunaskan antara bulan Jun hingga Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE