KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah mengingatkan supaya barisan pentadbir negeri itu sentiasa menyampaikan kisah benar berlandaskan fakta agar baginda dapat menyempurnakan amanah secara adil dan saksama.
Baginda bertitah amat insaf akan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas diri dan kesempurnaan menyempurnakan amanah bukan sahaja diperhatikan oleh rakyat jelata, tetapi merupakan ujian besar Ilahi yang akan dinilai pada hari kebangkitan.
“Semoga Beta tidak dilalikan, tidak dilekakan dalam mimpi indah, tidak dibuai kata-kata pujian berunsur pelipur lara.
“Ahli-ahli Dewan Negara, para ulama dan umara, hendaklah senantiasa menyembahkan kepada Beta kisah benar, berlandaskan fakta, agar Beta tidak akan tergelincir daripada menyempurnakan amanah Ilahi secara adil, secara saksama,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian semasa Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-68 baginda di Istana Iskandariah di sini hari ini.
Baginda juga bertitah, Malaysia kini sedang menghadapi perkembangan yang semakin mengancam perpaduan apabila agama dan kaum dijadikan benang tenunan untuk menganyam hamparan untuk meraih laba politik. – KOSMO! ONLINE