TANAH MERAH – Penambahan warden di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mampu mengekang dan mengatasi kejadian buli di pusat pengajian berkenaan daripada terus berulang.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, langkah itu diambil sejak kejadian pertama yang berlaku melibatkan Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017.
Menurutnya, Kementerian Pertahanan (Mindef) mengambil serius mengenai perkara itu dan tidak pernah berkompromi dengan sebarang kegiatan buli.
“Langkah menambah bilangan warden dilihat dapat menyantuni selain dapat memantau lebih ramai pelajar sekali gus mengelakkan kejadian sama berulang.
“Bukan hanya buli, kejadian lain melibatkan UPNM turut diberikan perhatian serius oleh Minde,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Veteran Desa Madani Peringkat Daerah Tanah Merah, di Sekolah Kebangsaan (SK) Bechah Laut, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Adly memberitahu, aspek undang-undang di UPNM turut diberikan perhatian oleh pihak Mindef.
Katanya, jika berlaku kes buli atau jenayah di pusat pengajian itu, Mindef akan terus menyerahkan perkara yang berlaku kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang pelajar senior UPNM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pegawai kadet junior universiti itu dengan menggunakan seterika wap panas bulan lalu.
Tertuduh, Amirul Iskandar Norhanizan, 22, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Egusra Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Salman Mohd. Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika wap yang panas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di blok Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, Kem Sungai Besi kira-kira pukul 11.45 malam pada 22 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana – mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE