fbpx

Pemindahan anggota Malbatt perlu ambil kira kepentingan negara terlibat UNIFIL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adly (kiri) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada veteran tentera pada Program Veteran Desa Madani Peringkat Jajahan Tanah Merah di SK Bechah Laut, Tanah Merah hari ini. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

TANAH MERAH – Segala tindakan dan keputusan termasuk pemindahan anggota Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) susulan insiden serangan berhampiran Stadium Saida, Lubnan, kelmarin perlu mengambil kira semua negara yang terbabit dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ini kerana, UNIFIL merupakan badan yang menyelaras operasi berkenaan.

“Justeru, segala tindakan akan mengikut tanggungjawab yang telah disepakati dalam UNIFIL.

“Bagaimanapun, Kementerian Pertahan (Mindef) akan memastikan tempat perlindungan anggota berada dalam keadaan selamat,” katanya semasa sidang akhbar selepas Program Veteran Desa Madani Peringkat Jajahan Tanah Merah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bechah Laut, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adly memberitahu, Mindef tidak akan membawa pulang anggota yang mengalami kecederaan.

Katanya, anggota terlibat diberikan rawatan sebaik mungkin supaya mereka dapat terus berkhidmat membawa tanggungjawab negara kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Mindef sentiasa berkomunikasi dengan anggota Mallbat supaya perkembangan terbaharu mengenai kes tersebut,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan enam anggota Malaysian Battalion 850-12 (Malbatt 850-12) cedera dalam insiden letupan berdekatan Stadium Saida, Lebanon pada Khamis lalu.

Menurut kenyataan itu, insiden letupan tersebut berlaku pada pukul 1.54 tengah hari waktu Lebanon atau 7.54 malam waktu Malaysia.

“Kejadian berlaku ketika pergerakan anggota Malnatt 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah.

“Letupan tersebut telah menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut, namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota Malbatt 850-12,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI