KUALA LUMPUR – Penyanyi Arrora Salwa lebih selesa jika suaminya tidak datang menonton konsert Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) yang mana dia merupakan salah seorang daripada 14 peserta tahun ini.
Menurut Arrora atau nama sebenarnya Salwa Md. Razak, 39, suaminya yang merupakan kapten juruterbang itu seorang yang bersifat ‘introvert’.
“Suami saya bukanlah orang yang berada di dalam industri. Dia bukan seorang yang banyak cakap seperti saya. Dia seorang yang pendiam.
“Nanti akan jadi canggung jika dia hadir menonton. Saya pun akan asyik terfikir keadaan suami saya macam mana.
“Tetapi dia sangat memberi sokongan yang padu untuk saya sertai GV11. Cuma saya beritahu dia boleh tak kalau saya tak nak dia datang menonton konsert itu nanti,” katanya sewaktu ditemui pada sidang media memperkenalkan peserta GV11, baru-baru ini.
Sama-sama bertugas di awan biru, kongsi penyanyi yang popular dengan lagu Ahmad itu lagi, dia dan suami tidak tinggal bersama kerana suaminya tinggal di Eropah.
Berkongsi lanjut tentang penyertaannya dalam GV11, kata Arrora dia pernah ditawarkan untuk sertai program itu pada tahun 2022 namun, terpaksa tolak atas urusan kerja.
“Seperti yang semua tahu saya bertugas sebagai seorang pramugari bersama syarikat Malaysia Airlines.
“Ketika itu saya masih menjalani sesi latihan bersama syarikat. Saya serba salah ketika itu sama ada untuk terima tawaran tersebut ataupun tidak. Saya siap buat solat istikarah. Dan akhirnya saya teruskan dengan latihan sebagai pramugari.
“Tetapi apabila pihak produksi sekali lagi menawarkan saya untuk sertai GV kali ini saya terus terima. Kerana kini saya sudah menjadi pekerja tetap di Malaysia Airlines. Dan saya boleh minta cuti tanpa gaji selama empat bulan,” kongsinya.
Untuk rekod, Arrora dan suaminya Ahmed Mahfuz berkahwin dengan pada Julai 2017. Arrora sebelum itu pernah berkahwin dan bergelar janda selama tujuh tahun. Suaminya pula merupakan duda anak tiga. – KOSMO! ONLINE