PETALING JAYA – Pangsapuri Mentari Court, di sini yang sebelum ini didakwa dibanjiri warga asing digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi satu operasi, Selasa lalu.
Op Kutip, Op Selera, Op Dandan dan Op Belanja yang dilaksanakan sekitar pukul 12.30 tengah hari itu menyaksikan pelbagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) cuba melarikan diri.
Antaranya, terdapat PATI menyamar sebagai pelanggan serta menyorok di dalam tandas premis serbuan.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pihaknya menerima aduan awam berhubung dakwaan kononnya berlaku lambakan warga asing di kawasan itu.
“Susulan itu, pemeriksaan secara mengejut dijalankan terhadap 52 individu terdiri daripada lelaki dan wanita warga asing.
“Seramai 26 PATI berusia 29 hingga 40 tahun ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Pakistan, Sri Lanka, India, Nigeria dan Ivory Coast ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati terdapat pelanggaran melibatkan Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua mereka didapati melakukan beberapa kesalahan antaranya tidak memiliki permit atau pas yang sah untuk tinggal di negara ini, tinggal lebih masa dan melanggar syarat permit atau pas,” katanya.
Menurutnya, risikan dijalankan selama dua minggu mendapati kawasan premis perniagaan ini sememangnya menjadi antara lokasi tumpuan warga asing.
“Rata-rata warga asing ini bekerja sebagai pembantu kedai runcit, pekerja restoran, tukang gunting rambut dan pekerja kedai telekomunikasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE