MANCHESTER – Jurulatih interim Manchester United, Ruud van Nistelrooy berharap beliau lulus ‘ujian’ untuk memikat hati pengendali baharu, Ruben Amorim selepas membantu pasukan itu menewaskan PAOK 2-0 dalam aksi Liga Europa awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium Old Trafford itu, The Red Devils berjaya meraih tiga mata penuh hasil jaringan berganda Amad Diallo sekali gus melakar kemenangan pertama di pentas Eropah dalam tempoh setahun.
Ia sekali gus menamatkan penantian lama United yang kali terakhir menikmati kemenangan aksi Eropah ketika menewaskan juara Denmark, Copenhagen 1-0 di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 24 Oktober tahun lalu.
Menurut Nistelrooy, masa depannya masih lagi tergantung ketika ini kerana belum dihubungi Amorim tetapi berharap dapat kekal dengan tugas hakiki selaku penolong jurulatih di Old Trafford.
“Saya rasa Amorim sekarang fokus dengan Sporting Lisbon yang akan bertemu Braga minggu ini. Kami juga akan mengalihkan tumpuan pada perlawanan Leicester (City) malam esok.
“Namun, saya sangat bangga dengan komitmen yang diberikan oleh pemain-pemain kerana membuktikan bahawa pasukan mampu untuk memberikan prestasi ampuh di atas padang,” kata Nistelrooy.
Sementara itu, penjaga gol United, Andre Onana meletakkan harapan tinggi agar Nistelrooy dapat dikekalkan menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan apabila Amorim tiba selaku pengendali baharu kelab tersebut bermula Isnin ini.
“Sayang jika kami tidak dapat gunakan pengalaman yang ada pada Nistelrooy. Beliau telah menjalankan tugas dengan baik sepanjang berada di sini dan harap dapat terus kekal bersama kami,” katanya. – AGENSI