PETALING JAYA – Nampaknya saham pelakon kacak Fattah Amin, 34, semakin melonjak naik sejak bergelar duda lebih sebulan lalu.
Jika sebelum ini bekas suami kepada Nur Fazura itu dilihat banyak mempromosikan pelbagai produk, terbaharu, dia dilamar untuk membintangi video muzik (MV) lagu penyanyi popular, Aina Abdul.
Menerusi hantaran Aina dalam akaun Instagram, dia berkongsi ‘teaser’ MV berdurasi 20 saat lagu baharunya yang berjudul Jadi Ajar Aku.
Dalam video tersebut kelihatan susuk tubuh Fattah tanpa mendedahkan bahagian depan wajahnya.
MV tersebut akan dilancarkan pada 10 November 2024 dalam saluran YouTube Aina Abdul pada pukul 8.30 malam.
Ramai peminat kedua-dua bintang popular itu sudah tidak sabar untuk menonton video penuh lagu tersebut.
“Tak sabarnya. Kita kasi ‘trending’ kali ini bersama Abam Tah (Fattah)”, komen netizen.
Lagu Jadi Ajar Aku adalah satu daripada tiga single terbaharu Aina dimuatkan dalam album Imaji versi deluxe yang dilancarkan 25 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE