KOTA TINGGI – Dua sahabat yang terperdaya dengan tawaran gaji RM4,000 berjaya diselamatkan dari terus menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja.
Mangsa yang menetap di Felda Air Tawar 4 pada awalnya ditawar bekerja di kasino sebaliknya dipaksa menjadi scammer bekerja selama 18 jam bermula 7 pagi hingga 1 pagi.
Lebih menyedihkan mereka yang mula bekerja sejak April lalu tidak dibayar gaji turut ditahan pihak imigresen Kemboja sejak September lalu selepas lokasi tempat mereka bekerja di bandar Sihanouk, Kemboja diserbu.
Penderitaan mereka bagaimanapun berakhir selepas diselamatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang membantu urusan mereka kembali ke tanah air.
Mangsa, Nurazlin Zulkifli, 28 berkata dia bertolak ke Cambodia pada 18 April, manakala rakannya Mohd Sofi Khairul Fadzilah, 33, datang seminggu kemudian.
“Tempat tidur, makan semua mereka bagi tiket juga majikan yang belikan. Pada awalnya kami dilayan dengan baik, namun lama-lama bila tidak dibayar gaji, kami minta mahu balik Malaysia namun mereka ugut suruh bayar RM30,000.
“Lokasi tempat kami bekerja kemudian diserbu dan kami semua termasuk lapan lagi warganegara Malaysia dari Sarawak ditahan oleh pihak imigresen,” katanya pada sidang media bersama Azalina di sebuah hotel di Bandar Penawar, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE