PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Erick Thohir mempelawa Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim untuk membuat pelaburan dalam arena bola sepak di republik itu pada masa depan.
Sebagai rekod, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini melihat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memerlukan individu seperti Erick untuk memulihkan semula maruah skuad Harimau Malaya.
Namun, Erick enggan termakan pujian, sebaliknya berharap agar Tunku Mahkota Ismail untuk melabur dengan kelab-kelab yang bersaing dalam kancah liga domestik di negaranya pada masa akan datang.
“Tentu itu pendapat dari luar negara. Cuma, kalau (Tunku Mahkota Ismail) dari Johor ingin investasi di sepak bola di Indonesia, kami alu-alukan.
“Ini kerana Liga 1 dan Liga 2 bakal dijadikan saingan yang sangat profesional.
“Jadi, jika ada kerabat dari Johor mahu melabur di Indonesia juga berita yang baik supaya arena bola sepak domestik semakin berkembang dengan pelaburan dari pelbagai negara,” katanya dipetik portal CNN Indonesia.
Sebelum ini, Tunku Mahkota Ismail menerusi ciapan tular dalam laman sosial X, melihat punca bola sepak bermasalah adalah disebabkan orang dalam industri yang tidak ‘berfungsi’.
“Tetapi yang mengundi adalah ahli gabungan, pasukan dan persatuan juga. Itu pasal bola sepak Malaysia bermasalah. Orang yang ada dalam industri bola sepak yang tak berfungsi.
“Tiada visi, komitmen, pengetahuan dan semangat. Contoh, Erick Thohir ada duit, ada ilmu, ada kenalan di peringkat antarabangsa dan ada semangat.
“Sebab itulah bola sepak Indonesia meningkat dalam projek infrastruktur bola, liga dan pasukan kebangsaan mereka,” katanya.