LIVERPOOL – Di sebalik kejayaannya memacu pasukan dengan pencapaian baik pada musim pertama, pengurus Liverpool, Arne Slot tidak mahu terlalu dibayangi oleh reputasi bekas pengendali, Jurgen Klopp.
Walaupun harapan terhadap The Reds makin memuncak untuk melihat lebih banyak kejayaan, namun Slot enggan memikirkan tentang tekanan kerana keutamaannya sekarang adalah melaksanakan tanggungjawab sehabis baik.
“Dengan kelab apa pun yang anda bekerja, tekanan pasti akan ada. Untuk sesetengah pengurus, mereka perlu memenangi lebih banyak perlawanan.
“Dalam situasi kami, tekanan juga pasti ada, namun itulah yang menjadikan apa yang kami sedang harungi sekarang,” katanya.
Liverpool yang sedang mendahului kedudukan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan carta Liga Juara-Juara Eropah (UCL) akan berdepan tugas sukar apabila melayan kunjungan Aston Villa di Anfield awal pagi esok.
Jangkaan terhadap Slot sekali lagi akan teruji selepas beliau mengetuai pasukan meraih keputusan luar biasa dengan merekodkan 14 kemenangan dalam 16 aksi sulungnya bersama The Reds.
“Anda hanya melihat kepada keputusan sedangkan kami terpaksa bekerja keras. Jadi kami kena teruskan semua ini kerana kami harus kekal konsisten sekiranya mahu memenangi perlawanan,” jelas Slot. – AGENSI