MANCHESTER – Manchester City berisiko tewas empat perlawanan berturut-turut buat kali pertama di bawah era Pep Guardiola sejak mula dilantik pada 1 Julai 2016 menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brighton di Stadium Amex awal pagi esok.
City tewas 1-2 kepada Tottenham Hotspur di pusingan keempat Piala Liga Inggeris, 1-2 kepada Bournemouth bagi aksi EPL dan dibelasah 1-4 oleh Sporting Lisbon pada saingan Liga Juara-Juara Eropah baru-baru ini.
Ia adalah tiga kekalahan berturut-turut City sejak April 2018 menyebabkan City tiada pilihan selain menang ke atas Brighton kerana lawan lebih sukar menanti dalam tiga aksi seterusnya iaitu Spurs, Feyenoord dan Liverpool.
Tonggak berpengalaman City, Bernardo Silva menggesa rakan sepasukannya supaya menamatkan prestasi buruk tersebut secepat mungkin sebelum aksi berehat untuk memberi laluan kepada tugasan antarabangsa minggu depan.
“Kami hanya ada satu perlawanan selepas rehat antarabangsa. Saya anggap ini kelebihan buat kami dari segi psikologi kerana masalah kecederaan yang menyelubungi pasukan ketika ini.
“Namun, sebelum itu kami perlu menang meskipun ia sukar kerana Brighton tidak pernah memberikan jalan mudah kepada mana-mana lawan mereka. Tiga mata amat membantu kami untuk melepasi fasa sukar ini,” katanya.
Guardiola pastinya pening kepala untuk menyenaraikan benteng pertahanan terbaik untuk menyekat penyerang Brighton, Danny Welbeck yang kini berada pada tahap terbaik dengan tiga gol dan satu bantuan jaringan daripada empat aksi terakhir.
Dalam masa sama, kem City juga mengharapkan Erling Haaland kembali menemui sentuhan jaringan selepas gagal melakukannya dalam tiga aksi terakhir sejak meledak gol tunggal menewaskan Southampton 1-0 hujung bulan lalu.