SERDANG – Pihak yang dilantik bagi menguruskan harta zakat perlu menjalankan tugas tersebut dengan jujur dan bertanggungjawab.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, tidak dinafikan ada daripada golongan dilantik itu lalai dengan tanggungjawab mereka sehingga berlakunya ketirisan.
“Duit zakat ini macam bom atom. Kalau kita salah, tak tahu guna dengan betul, ia akan meletup habis dan akan menghancurkan diri kita.
“Saya tak boleh nak nafikan dalam ramai-ramai itu kan, mungkin ada satu, dua, tiga (orang) yang tak amanah. Dia tak boleh nak tahan dengan temptation (godaan) dunia sehingga menyalahgunakan (duit zakat dan kuasa),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) ke-17 di sini, hari ini.
Mohd. Na’im berkata demikian ketika mengulas mengenai penahanan seorang pengerusi dan timbalan pengerusi sebuah masjid oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu baru-baru ini, disyaki mengemukakan senarai nama asnaf berstatus miskin yang tidak layak menerima zakat kepada sebuah badan kebajikan swasta.
Menurut Mohd. Na’im, pihaknya akan sentiasa melihat penambahbaikan sekiranya berlaku kelompongan dalam proses pengagihan zakat termasuklah syarat penerima.
“Mana-mana ada ruang kelompongan yang boleh menyebabkan berlakunya ketirisan, saya akan minta (mengetatkan semakan syarat pemberian zakat atau lantikan wakil pengurusan zakat).
“Saya mengambil kesempatan untuk mengingatkan diri saya dan semua pengurusan, majlis agama, pusat-pusat zakat, amil zakat untuk pastikan duit zakat diagihkan dengan amanah kepada mereka yang berhak ke atas duit zakat itu,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE