PENYANYI terkenal, Beyonce memecahkan rekod suaminya sendiri iaitu Jay-Z sebagai pemuzik paling banyak menerima pencalonan dalam Anugerah Grammy.
Sebelum ini pasangan tersebut berkongsi jumlah pencalonan yang sama iaitu sebanyak 88 pencalonan.
Namun pencalonan terbaharu Beyonce untuk Anugerah Grammy ke-67 menerusi album Cowboy Carter menyaksikan dia menerima 11 pencalonan sekali gus menjadikannya sebagai penyanyi paling banyak pencalonan dalam sejarah penganjuran acara berprestij itu.
Beyonce juga merupakan artis yang paling banyak menerima pencalonan pada edisi kali ini. Antara kategori yang bakal menjadi rebutannya adalah Album Terbaik, Album Country Terbaik dan Lagu Terbaik.
Beyonce juga merupakan pemegang rekod bagi artis yang paling banyak memenangi anugerah Grammy iaitu sebanyak 35 anugerah termasuk tiga anugerah bersama kumpulan Destiny’s Child.
Biarpun begitu, dia belum pernah memenangi anugerah kategori Album Terbaik sepanjang kariernya sebagai penyanyi.
Perkara itu telah membuatkan suaminya marah dan memberikan ucapan berbaur sindiran sewaktu menerima anugerah Grammy pada edisi lalu.
“Saya tidak mahu memalukan wanita ini. Tetapi dia mempunyai trofi Grammy melebihi semua orang namun tidak pernah menang Album Terbaik.
“Fikirkan tentang perkara ini. Pemenang Grammy paling banyak tidak pernah menang Album Terbaik. Perkara ini tidak masuk akal,” katanya.
Untuk Anugerah Grammy edisi ke-67, Beyonce bakal dicabar oleh pesaing terdekatnya iaitu Taylor Swift yang mempertaruhkan album The Tortured Poets Department.
Taylor yang pernah memenangi anugerah Album Terbaik sebanyak empat kali itu telah tercalon dalam enam kategori.
Selain Taylor, penyanyi sensasi Sabrina Carpenter dikatakan turut memberi saingan sengit kepada Beyonce. Dia tercalon dalam enam kategori.
Anugerah Grammy ke-67 bakal berlangsung pada 2 Februari 2025 bertempat di Arena Crypto.com Los Angeles, Amerika Syarikat. – KOSMO! ONLINE