MELAKA – Seorang peniaga warga asing membiarkan anak ketam rangup atau baby crab crispy yang telah siap digoreng di atas lantai kotor yang dipenuhi lalat sebelum juadah itu dijual kepada pelanggan di Jonker walk.
Tindakan lelaki berusia 30-an itu terbongkar selepas rumah sewanya di Malim di sini diserbu sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka menerusi Op Kita Gempur bersepadu pada Khamis.
Ketika disoal siasat, lelaki itu mengaku mengambil upah menggoreng anak ketam rangup untuk dijual di sebuah lokasi pusat pelancongan terkenal di Melaka.
“Saya biasanya menggoreng baby crab sehari lebih awal dan menyimpannya di dalam bekas untuk dijual keesokan harinya. Kalau hari ini nak jual, semalam dah goreng,” katanya.
Pemeriksaan lanjut mendapati bahagian dapur kotor dan dipenuhi lalat, manakala peti sejuk yang digunakan untuk menyimpan pelbagai bekalan berbau busuk.
Selain itu, keadaan lantai dan dinding dapur kehitaman kerana tidak dibersihkan selain anak ketam yang telah siap digoreng dibiarkan terdedah tanpa bertutup sekali gus berisiko tercemar penyakit bawaan lalat.
Sementara itu, KPDN Melaka merampas 102 peket minyak masak bersubsidi satu kilogram dan beberapa peket tepung gandum dipercayai digunakan untuk tujuan komersial susulan kegagalan lelaki itu mengemukakan permit menyimpan kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Peniaga tersebut turut ditahan KPDN Melaka untuk dirakam percakapan. – KOSMO! ONLINE