CYBERJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim masih boleh menjawat jawatan Perdana Menteri biarpun tempoh beliau sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tamat selepas tiga penggal.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, tiada isu timbul mengenai tempoh jawatan itu kerana Anwar masih mempunyai jawatan-jawatan penting lain.
Beliau berkata, pihak parti telah memikirkan jalan keluar kepada isu berkenaan.
“Ketika ini, Anwar mempunyai jawatan-jawatan lain yang membolehkan beliau memegang jawatan Perdana Menteri bagi penggal kedua pentadbirannya selepas Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU16).
“Anwar ketika ini masih pegang jawatan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Pengerusi Majlis Rundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan jadi daripada segi itu tidak berlaku sebarang konflik,” katanya ketika ditemui pada Hari Kurier Negara 2024, di sini hari ini.
Katanya, PKR memang mengamalkan had tiga penggal bagi jawatan Presiden, namun pada waktu ini tidak ada isu berbangkit dan Anwar boleh berkhidmat sebagai Perdana Menteri sekarang serta untuk penggal seterusnya.
Untuk rekod, Anwar memegang jawatan pengerusi PH sejak 2020. – KOSMO! ONLINE