fbpx

Akid Aziz julang gelaran CP150 berturut-turut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing meraikan kejayaan pelumbanya, Akid Aziz selepas mempertahankan gelaran CP150 buat kali kedua berturut-turut.

KUALA LUMPUR  – Pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Akid Aziz mengotakan janjinya apabila menjuarai perlumbaan pusingan sembilan untuk meletakkannya sebagai juara keseluruhan dalam kelas perdana CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia hari ini.

Akid yang turun dengan misi menjuarai perlumbaan yang berlangsung di Bandar Medini Iskandar, Johor itu menampilkan aksi cukup baik biarpun ditentang hebat terutama menerusi rakan sepasukannya, Ahmad Afif Amran dan juga Kasma Daniel Kasmayudin dari Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor.

Bagaimanapun, Akid yang ketinggalan di kedudukan kedua bijak mencari ruang sebelum berjaya memintas Afif untuk mengambil alih kembali kedudukan pertama sekali gus membolehkannya mencipta kejayaan merangkul gelaran CP150 buat kali kedua berturut-turut.

“Perjalanan saya agak bagus sepanjang musim ini bermula dari pusingan satu sehinggalah sekarang. Saya hanya kehilangan satu podium di pusingan Sepang tetapi pusingan-pusingan seterusnya semua berjalan dengan lancar. Saya dapat mempertahankan kedudukan saya di atas.

AKID (tengah) tampil cemerlang musim ini sekali gus mempertahankan gelaran CP150 yang dimenangi musim lalu.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan saya, krew saya serta keluarga saya untuk sokongan yang telah diberikan kepada saya,” katanya yang hanya memerlukan tiga mata di Johor untuk menjuarai gelaran CP150.

Kemenangan di Medini menyaksikan Akid mengumpul keseluruhan 200 mata dan tidak lagi mampu dicabar pelumba di tempat kedua, Afif yang telah mengumpul 147 mata.

Lebih manis, pasukan CKJ turut pulang bergaya apabila pelumba mudanya, Izam Ikmal muncul juara dalam saingan CP125 selepas berjaya menewaskan pelumba pasukan Honda KC Racing, Irfan Haykhal Amidi yang menamatkan perlumbaan tempat kedua. Sementara itu, pelumba Castro Power1 Honday Yuzy Racing, Haziq Hamdan terpaksa berpuas hati podium tempat ketiga.

PELUMBA berbakat CKJ, Izam Ikmal turut cemerlang apabila menjuarai perlumbaan CP125.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya. Perlumbaan tadi agak
sengit dan saya juga nampak Irfan agak agresif. Tetapi, saya cuba mengekalkan momentum kerana terutamanya di keadaan litar yang basah dan elak sebarang kesilapan.

“Syamil malangnya tidak dapat meneruskan perlumbaan. Jadi saya cuba mengambil peluang untuk menguasai perlumbaan ini. Ini adalah rezeki saya pada hari ini dan saya amat bersyukur,” katanya.

Selepas perlumbaan di Bandar Medini Iskandar, Kejuaraan Cub Prix Malaysia akan menutup tirainya di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 23 hingga 24 November ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI