SELANGOR FC tidak boleh mencari alasan dan wajar menyalahkan diri sendiri selepas tewas 0-1 kepada Jeonbuk Hyundai Motors di Stadium Piala Dunia Jeonju, Korea Selatan kelmarin.
Pengendali sementara The Red Giants, Abdi Hassan merasakan anak-anak buahnya dapat pengajaran berharga khususnya bermain di pentas tertinggi seperti Liga Juara-Juara 2 (ACL 2).
“Perlawanan yang sukar terutamanya apabila kita melihat kepada persembahan pasukan lawan di babak pertama. Separuh masa kedua kita cuba baiki tetapi di peringkat ini apabila kita gagal sempurnakan peluang, sudah pasti sukar untuk menang.
“Pasukan lawan sememangnya berhak untuk menang kerana mereka bermain dengan baik. Kami sudah tahu mereka akan turun dengan kesebelasan berbeza, namun pada akhirnya pelaksanaan dalam padang beri impak kepada kami,” katanya.
Pada perlawanan kelmarin, Selangor dihukum menerusi situasi bola mati apabila Tiago Orobo bertindak pantas untuk menyambar bola hasil sepakan penjuru sekali gus memastikan jaringan kemenangan Jeonbuk pada minit ke-22.
Tidak hanya menghadiahkan kekalahan pertama Selangor pada kempen ACL 2 musim ini, kejayaan tersebut juga menyaksikan wakil Korea Selatan itu berjaya melunaskan dendam ekoran kekecewaan 1-2 pada perlawanan pertama di Petaling Jaya bulan lalu.
“Negara berbeza dan kami kena sesuaikan diri khususnya dalam aspek cuaca yang berbeza. Tetapi semua itu bukan alasan kerana bagi saya di peringkat ini, kami sepatutnya perlu memanfaatkan setiap peluang yang tercipta,” tambah Abdi.
Sebagai rekod, Selangor kini berada di tangga kedua dengan tujuh mata, dua mengatasi pasukan tempat ketiga, Muangthong United dari Thailand yang merakam kemenangan pertama musim ini selepas membelasah wakil Filipina, Cebu FC 9-2 kelmarin.