PETALING JAYA – Tanda sokongan terhadap minat suami, pempengaruh, Dahlia Rizal menghadiahkan sebuah motosikal berkuasa tinggi buat insan kesayangan juga pelakon Imran Aqil bersempena ulang tahun ke-24.
Dahlia atau nama sebenarnya Nur Dahlia Ahmad Rizal, 23, berkata, kejutan yang dibuat lebih awal berupa sebuah Ducati Scrambler adalah sebagai ganti kepada motosikal lama yang terpaksa dijual.
“Dia terpaksa jual dan lepaskan motosikal kegemarannya sebelum ini.
“Jadi saya ambil keputusan untuk beli satu yang baru buatnya iaitu Ducati Srambler sempena hadiah ulang tahun kelahirannya pada 26 November nanti.
“Harap kamu suka sayang,” katanya dalam perkongsian Instagram yang turut disertakan gambar mereka menaiki motosikal itu.
Menerusi hantaran sama, Dahlia turut menzahirkan terima kasih kepada bapa saudara Imran yang membantunya menguruskan pembelian hadiah terbabit.
Bahkan, wanita yang aktif dalam arena peragaan itu tidak ketinggalan menyatakan bahagia dapat berkongsi kegembiraan dengan orang tersayang dengan hasil titik peluhnya.
“Saya memang bekerja keras, jadi saya dapat menggembirakan keluarga, rakan dan suami saya,” ujarnya.
Sementara itu, Imran yang terharu menerima motosikal terbabit turut berdoa selain berkongsi gambar membawa isterinya membonceng jentera baharu tersebut.
“Ya Allah, jadikanlah sesiapa pun yang aku pandang tetap isteri ku yang paling mulia dan jangan pernah tanamkan pada jiwaku berpaling dan tertarik selain daripada isteri yang diredai.
“Terima kasih isteri ku, semoga Allah sentiasa memuliakan mu,” katanya menerusi Instagram.
Pasangan muda yang baharu setahun mendirikan rumah tangga itu sememangnya menjadi perhatian apabila disifatkan sebagai sama cantik, sama padan.
Mereka juga dikatakan menjadi contoh kepada golongan sebaya dalam mengatur kerjaya serta rumah tangga biarpun masih muda.
Februari lalu, Dahlia turut menjadi sebutan selepas dapat membeli kereta idamannya iaitu Mercedes-Benz hasil kerja kerasnya. – KOSMO! ONLINE